Rasulullah SAW bersabda: "Fatimah adalah sebahagian daripadaku. Barangsiapa yang membuat dia marah, akan membuat aku marah." Hadis Riwayat Bukhari |
Lahirnya Siti Fatimah Az
Zahra r.a merupakan rahmat yang telah dilimpahkan Ilahi kepada Nabi Muhammad SAW.
Ia telah menjadi wadah suatu keturunan yang suci. Ia laksana benih yang akan
menumbuhkan pohon besar penyambung keturunan Rasulullah SAW.
Ia satu-satunya yang menjadi sumber keturunan paling mulia yang dikenali umat Islam di
seluruh dunia. Siti Fatimah Az Zahra r.a dilahirkan di Makkah, pada hari
Jumaat, 20 Jamadil Akhir, lebih kurang lima tahun sebelum Rasulullah SAW di
angkat menjadi Rasul.
Siti Fatimah Az Zahra r.a
membesar di bawah naungan wahyu Ilahi, di tengah kancah pertarungan sengit
antara Islam dan jahiliyah, di kala sedang hebatnya perjuangan para perintis
iman melawan penyembah berhala.
Ketika masih kanak-kanak, Siti
Fatimah Az Zahra r.a sudah mengalami penderitaan, merasakan kehausan dan
kelaparan. Dia berkenalan dengan pahit getirnya perjuangan menegakkan kebenaran
dan keadilan. Lebih dari tiga tahun, dia bersama ayah bondanya hidup menderita
dibuang daerah akibat pemboikotan orang-orang kafir Quraisy terhadap keluarga
Bani Hasyim.
Setelah bebas penderitaan
setelah 3 tahun diboikot, datang pula ujian berat atas diri Siti Fatimah Az
Zahra r.a, apabila wafatnya bonda tercinta, Siti Khadijah r.a. Perasaan sedih
selalu sahaja menyelubingi hidup sehari-harinya dengan putusnya sumber
kecintaan dan kasih sayang ibu.
Rasulullah SAW sangat mencintai
puterinya ini. Siti Fatimah Az Zahra r.a adalah puteri bongsu yang paling
disayang dan dikasihani junjungan kita Rasulullah SAW. Nabi Muhammad SAW merasa
tidak ada seorang pun di dunia, yang paling berkenan di hati baginda dan yang
paling dekat di sisinya selain puteri bongsunya itu.
Demikian besar rasa cinta
Rasulullah SAW kepada puteri bongsunya itu dibuktikan dengan Hadis yang
diriwayatkan oleh Ibnu Abbas. Menurut Hadis tersebut, Rasulullah SAW berkata
kepada Sayyidina Ali r.a
demikian:
“Wahai Ali,
sesungguhnya Fatimah adalah bahagian dari aku. Dia adalah cahaya mataku dan buah
hatiku. Barang siapa menyusahkan dia, ia menyusahkan aku, dan siapa yang
menyenangkan dia, ia menyenangkan aku…”
Penyataan baginda itu bukan
sekadar cetusan emosi, melainkan suatu penegasan bagi umatnya, bahawa puteri
baginda itu merupakan lambang keagungan peribadi yang ditinggalkan di tengah
umatnya.
Ketika masih kanak-kanak, Siti
Fatimah Az Zahra r.a menyaksikan sendiri ujian-uijian getir yang dialami oleh
ayah bondanya, baik berupa gangguan-gangguan, mahupun penganiayaan-penganiayaan
yang dilakukan orang-orang kafir Quraisy. Siti Fatimah hidup di udara Makkah
yang penuh dengan debu perlawanan orang-orang kafir terhadap keluarga Nubuwah,
keluarga yang menjadi pusat iman, hidayah dan keutamaan. Dia menyaksikan
keteguhan dan ketegasan orang-orang mukmin dalam perjuangan gagah berani
menghadapi komplot-komplot Quraisy. Suasana perjuangan itu membekas
sedalam-dalamnya pada jiwa Siti Fatimah Az Zahra r.a dan memainkan peranan
penting dalam pembentukan peribadinya, serta mempersiapkan kekuatan rohaniah
bagi menghadapi kesukaran-kesukaran di masa depan.
Setelah ibunya wafat, Siti
Fatimah Az Zahra r.a hidup bersama ayahandanyaa. Satu-satunya orang yang paling
dicintai. Dialah yang meringankan penderitaan Rasulullah SAW ketika ditinggal
wafat isteri baginda, Siti Khadijah. Pada suatu hari Siti Fatimah Az Zahra r.a
menyaksikan ayahnya pulang dengan kepala dan tubuh penuh pasir, yang baru saja
dilemparkan oleh orang-orang Quraisy, di saat ayahandanya sedang sujud. Dengan
hati remuk-redam laksana disayat sembilu, Siti Fatimah r.a segera membersihkan
kepala dan tubuh ayahandanya. Kemudian diambilnya air untuk mencucinya. Dia
menangis tersedu-sedu menyaksikan kekejaman orang-orang Quraisy terhadap
ayahnya.
Kesedihan hati puterinya itu
dirasakan benar oleh Nabi Muhammad SAW. Untuk menguatkan hati puterinya dan
meringankan rasa sedihnya, maka Nabi Muhammad SAW sambil membelai-belai kepala
puteri bongsunya itu, berkata, “Jangan menangis…, Allahmelindungi
ayahmu dan akan memenangkannya dari musuh-musuh agama dan risalah-Nya.”
Dengan tutur kata penuh
semangat itu, Rasulullah SAW menanamkan daya juang yang tinggi ke dalam jiwa
Siti Fatimah r.a dan sekaligus mengisinya dengan kesabaran, ketabahan serta
kepercayaan bahawa Islam akan menang. Meskipun orang-orang sesat dan derhaka
seperti kafir Quraisy itu sentiasa mengganggu dan melakukan penganiayaan-penganiayaan,
namun Nabi Muhammad SAW tetap melaksanakan tugas risalahnya.
Pada ketika lain, Siti Fatimah
r.a menyaksikan ayahandanya pulang dengan tubuh penuh dengan kotoran kulit
janin unta yang baru dilahirkan. Yang melemparkan kotoran atau najis ke
punggung Rasulullah SAW itu adalah Uqbah bin Mu’aith, Ubay bin Khalaf dan
Umayyah bin Khalaf. Melihat ayahandanya berlumuran najis, Siti Fatimah r.a
segera membersihkannya dengan air sambil menangis.
Nabi Muhammad rupa-rupanya
menganggap perbuatan ketiga kafir Quraisy itu sudah keterlaluan. Kerana itulah
maka pada waktu itu baginda memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT:
“Ya Allah,
celakakanlah orang-orang Quraisy itu. Ya Allah, binasakanlah Uqbah bin Mu’aith,
ya Allah binasakanlah Ubay bin Khalaf dan Umayyah bin Khalaf.”
Masih banyak lagi pelajaran
yang diperolehi Siti Fatimah dari penderitaan ayahandanya dalam perjuangan
menegakkan kebenaran Allah. Semuanya itu menjadi bekal hidup baginya untuk
menghadapi masa mendatang yang berat dan penuh ujian. Kehidupan yang serba
berat dan keras di kemudian hari memang memerlukan kekuatan jiwa dan mental.
Tepat pada saat orang-orang
Quraisy selesai mempersiapkan komplot untuk membunuh Rasulullah SAW, Madinah
telah siap menerima kedatangan baginda. Nabi Muhammad meninggalkan kota Makkah secara
diam-diam di tengah kegelapan malam. Baginda bersamaAbu Bakar As
Siddiq meninggalkan kampung halaman, keluarga tercinta dan sanak saudara.
Baginda berhijrah sepertimana dahulu pernah juga dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s
dan Nabi Musa a.s.
Di antara orang-orang yang
ditinggalkan Nabi Muhammad SAW termasuk puteri kesayangan baginda, Siti Fatimah
r.a dan putera bapa saudara baginda yang diasuh dengan kasih sayang sejak
kecil, iaitu Sayyidina Ali r.a yang selama ini menjadi pembantu yang paling
dipercayai oleh baginda.
Sayyidina Ali r.a sengaja
ditinggalkan oleh Nabi Muhammad untuk melaksanakan tugas khas, iaitu berbaring
di tempat tidur baginda untuk mengaburi mata orang-orang Quraisy yang bersedia
hendak membunuh baginda. Sebelum Sayyidina Ali r.a melaksanakan tugas tersebut,
ia dipesan oleh Nabi Muhammad SAW agar barang-barang amanah yang ada pada
baginda dikembalikan kepada pemiliknya masing-masing. Setelah itu bersama semua
anggota keluarga, Rasulullah SAW segera menyusul berhijrah.
Sayyidina Ali r.a membeli
seekor unta untuk kenderaan bagi wanita yang akan berangkat hijrah
bersama-sama. Rombongan hijrah yang menyusul perjalanan Rasulullah SAW terdiri
dari keluarga Bani Hasyim dan dipimpin sendiri oleh Sayyidina Ali r.a. Di dalam
rombongan Sayyidina Ali r.a ini termasuk Siti Fatimah r.a, Fatimah binti Asad
bin Hasyim (ibu Sayyidina Ali r.a), Fatimah binti Zubair bin Abdul Mutalib dan
Fatimah binti Hamzah bin Abdul Mutalib. Aiman dan Abu Waqid Al Laitsiy ikut
bergabung dalam rombongan.
Rombongan Sayyidina Ali r.a
berangkat dalam keadaan terburu-buru. Perjalanan ini tidak dilakukan secara
diam-diam. Abu Waqid berjalan cepat-cepat menuntun unta yang ditunggang oleh
kaum wanita, agar jangan dikejar oleh orang-orang Quraisy. Mengetahui hal itu,
Sayyidina Ali r.a segera memperingatkan Abu Waqid, supaya berjalan
perlahan-lahan, kerana semua penumpangnya adalah wanita. Rombongan berjalan
melalui padang pasir di bawah sengatan terik matahari.
Di Dhajnan, rombongan Sayyidina
Ali r.a beristirehat semalam. Ketika itu tiba pula Ummu Aiman (ibu Aiman). Ia
menyusul anaknya yang telah berangkat lebih dahulu bersama Sayyidina Ali r.a.
Bersama Ummu Aiman turut pula sejumlah orang muslimin yang berangkat hijrah.
Waktu itu masing-masing sungguh sangat rindu ingin segera bertemu dengan
Rasulullah SAW.
Waktu itu Rasulullah SAW
bersama Abu Bakar As Siddiq sudah tiba dekat kota Madinah. Untuk beberapa waktu,
baginda tinggal di Quba. Baginda menanti kedatangan rombongan Sayyidina Ali
r.a. Rasulullah SAW memberitahu Abu Bakar As Siddiq bahawa baginda tidak akan
memasuki kota Madinah, sebelum putera bapa saudaranya dan puterinya sendiri
datang.
Selama dalam perjalanan itu,
Sayyidina Ali r.a tidak berkenderaan sama sekali. Ia berjalan kaki menempuh
jarak 450 km sehingga kakinya pecah-pecah dan membengkak. Akhirnya tibalah
semua anggota rombongan dengan selamat di Quba. Betapa gembiranya Rasulullah
SAW menyambut kedatangan orang-orang yang disayanginya itu.
Ketika Nabi Muhammad SAW
melihat Sayyidina Ali r.a tidak dapat berjalan kaki kerana kakinya membengkak,
baginda merangkul dan memeluknya sambil menangis kerana sangat terharu. Baginda
kemudian meludah di atas tapak tangan lalu diusapkan pada kaki Sayyidina Ali
r.a. Dikatakan sejak itu sehinggalah wafatnya, Sayyidina Ali r.a tidak pernah
mengeluh kerana sakit kaki.
Peristiwa yang sangat
mengharukan itu sangat memberi kesan dalam hati Rasulullah SAW dan tidak dilupakan
selama-lamanya. Berhubung dengan peristiwa itu, turunlah wahyu Ilahi yang
memberi penilaian tinggi kepada kaum Muhajirin, seperti terdapat dalam surah
Ali Imran ayat 195.
Ijab Kabul Pernikahan
Siti Fatimah Az Zahra r.a mencapai puncak keremajaan dan kecantikannya ketika
Islam dibawa Nabi Muhammad SAW sudah maju dengan pesat di Madinah dan
sekitarnya. Ketika itu Siti Fatimah Az Zahra r.a benar-benar telah menjadi anak
gadis remaja.
Keelokan parasnya banyak
menarik perhatian. Tidak sedikit pemuda terhormat yang menaruh harapan ingin
mempersuntingkan puteri Rasulullah SAW itu. Beberapa orang terkemuka dari kaum
Muhajirin dan Ansar telah berusaha melamarnya. Menangani lamaran itu, Nabi
Muhammad SAW menyatakan bahawa baginda sedang menanti datangnya petunjuk dari
Allah SWT mengenai puterinya itu.
Pada suatu hari Abu Bakar As
Siddiq r.a, Umar Ibnul Khattab r.a dan Saad bin Muaz bersama-sama Rasulullah
SAW duduk dalam masjid baginda. Pada kesempatan itu diperbincangkan antara lain
persoalan puteri Rasulullah SAW. Ketika itu baginda bertanya kepada Abu Bakar
As Siddiq r.a, “Apakah engkau bersedia menyampaikan persoalan Fatimah itu
kepada Ali bin Abi Thalib?”
Abu Bakar As Siddiq r.a
menyatakan kesediaannya. Ia berangkat untuk menghubungi Sayyidina Ali r.a.
Sewaktu Sayyidina Ali r.a melihat datangnya Abu Bakar As Siddiq r.a dengan
tergopoh-gopoh, ia menyambutnya dengan terperanjat kemudian bertanya, “Anda
datang membawa berita apa?”
Setelah duduk rehat sejenak,
Abu Bakar As Siddiq r.a segera memperjelaskan persoalannya, “Wahai Ali,
engkau adalah orang pertama yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta
mempunyai lebih keutamaan dibandingkan dengan orang lain. Semua sifat utama ada
pada dirimu. Demikian juga engkau adalah kerabat Rasulullah. SAW. Beberapa
orang Sahabat terkemuka telah menyampaikan lamaran kepada baginda untuk dapat
mempersuntingkan puteri baginda. Lamaran itu semuanya baginda tolak. Baginda
menyatakan, bahawa persoalan puterinya diserahkan kepada Allah SWT. Akan
tetapi, wahai Ali, apa sebab hingga sekarang engkau belum pernah
menyebut-nyebut puteri baginda itu dan mengapa engkau tidak melamar untuk
dirimu sendiri? Kuharap semoga Allah dan
Rasul-Nya akan menahan puteri itu untukmu.”
Mendengar perkataan Abu Bakar
r.a itu, mata Sayyidina Ali r.a. berlinang-linang. Menanggapi kata-kata itu,
Sayyidina Ali r.a. berkata,“Wahai Abu Bakar, anda telah membuat hatiku goncang
yang sebelumnya tenang. Anda telah mengingatkan sesuatu yang sudah kulupakan. Demi Allah,
aku memang menghendaki Fatimah, tetapi yang menjadi penghalang satu-satunya
bagiku ialah kerana aku tidak mempunyai apa-apa.”
Abu Bakar r.a terharu mendengar
jawapan Sayyidina Ali yang menyentuh perasaan itu. Untuk membesarkan dan
menguatkan hati Sayyidina Ali r.a, Abu Bakar berkata, “Wahai Ali,
janganlah engkau berkata seperti itu. Bagi Allah dan Rasul-Nya, dunia dan
seisinya ini hanyalah ibarat debu bertaburan belaka!”
Setelah berlangsung dialog
seterusnya, Abu Bakar r.a berjaya mendorong keberanian Sayyidina Ali r.a. untuk
melamar puteri Rasulullah SAW.
Beberapa waktu kemudian,
Sayyidina Ali r.a datang menghadap Rasulullah SAW yang ketika itu sedang berada
di tempat kediamanUmmu Salamah.
Mendengar pintu diketuk orang, Ummu Salamah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Siapakah
yang mengetuk pintu?” Rasulullah menjawab, “Bangunlah dan bukakan pintu
baginya. Dia orang yang dicintai Allah dan Rasul-Nya, dan ia pun mencintai
Allah dan Rasul-Nya!”
Jawapan Nabi Muhammad SAW itu
belum dapat memuaskan hati Ummu Salamah r.a. ia bertanya lagi, “Ya, tetapi
siapakah dia itu?”
“Dia saudaraku, orang
kesayanganku!” jawab Nabi Muhammad SAW.
Tercantum dalam banyak riwayat,
bahawa Ummu Salamah di kemudian hari mengisahkan pengalamannya sendiri mengenai
kunjungan Sayyidina Ali r.a kepada Nabi Muhammad SAW itu: “Aku berdiri
cepat-cepat menuju ke pintu, sampai kakiku terhantuk-hantuk. Setelah pintu
kubuka, ternyata orang yang datang itu ialah Ali bin Abi Thalib. Aku lalu
kembali ke tempatku semula. Dia masuk, kemudian mengucapkan salam dan dijawab
oleh Rasulullah SAW. Ia dipersilakan duduk di depan baginda. Ali bin Abi Thalib
menundukkan kepala, seolah-olah mempunyai maksud tetapi malu hendak
mengutarakannya. Rasulullah mendahului berkata, “Wahai
Ali, nampaknya engkau mempunyai suatu keperluan. Katakanlah apa yang ada dalam
fikiranmu. Apa saja yang engkau perlukan, akan kauperoleh dariku!”
Mendengar kata-kata Rasulullah
SAW itu, lahir keberanian Ali bin Abi Thalib untuk berkata, “Maafkanlah
aku, ya Rasulullah.
Engkau tentu ingat bahawa engkau telah mengambil aku dari bapa saudara engkau, Abu Thalib dan
ibu saudara engkau, Fatimah binti Asad, ketika aku masih kanak-kanak dan belum
mengerti apa-apa. Sesungguhnya
Allah telah memberi hidayah kepadaku melalui engkau juga. Dan
engkau, ya Rasulullah, adalah tempat aku bernaung dan engkau jugalah yang
menjadi wasilahku di dunia dan Akhirat. Setelah Allah membesarkan aku dan
sekarang menjadi dewasa, aku ingin berumah tangga, hidup bersama seorang
isteri. Sekarang aku datang menghadap untuk melamar puteri engkau, Fatimah. Ya
Rasulullah, apakah engkau berkenan menyetujui untuk menikahkan diriku
dengannya?” Ummu Salamah meneruskan
kisahnya, “Ketika itu kulihat wajah Rasulullah nampak berseri-seri. Sambil
tersenyum baginda berkata kepada Ali bin Abi Talib,
“Wahai Ali, apakah engkau mempunyai suatu bekal mas kahwin?”
“Demi Allah,” jawab Ali
bin Abi Talib dengan terus terang, “Engkau sendiri mengetahui bagaimana
keadaanku, tak ada sesuatu tentang diriku yang tidak engkau ketahui. Aku tidak
mempunyai apa-apa selain sebuah baju besi, sebilah pedang dan seekor unta.”
“Tentang pedangmu itu,” kata
Rasulullah menanggapi jawapan Ali bin Abi Talib, Demikianlah riwayat yang
diceritakan Ummu Salamah r.a.
Setelah segala-galanya siap,
dengan perasaan puas dan hati gembira, dengan disaksikan oleh para Sahabat,
Rasulullah mengucapkan kata-kata ijab kabul pernikahan puterinya: “Bahawasanya
Allah SWT memerintahkan aku supaya menikahkan engkau Fatimah atas mas kahwin
400 dirham (nilai sebuah baju besi). Mudah-mudahan engkau dapat menerima hal
itu.”
“Ya, Rasulullah, itu kuterima
dengan baik, “ jawab Ali bin Abi Tali r.a dalam pernikahan itu.
Demikianlah berlakunya
pernikahan antara dua orang yang sangat dicintai oelh Rasulullah SAW yakni
puterinya, Siti Fatimah dan Sahabat yang jua merupakan sepupu baginda yakni
Sayyidina Ali. Rasulullah SAW mendoakan keberkahan atas perkahwinan itu.
Sejarah menyaksikan bahawa
Fatimah puteri Rasulullah adalah seorang wanita mulia yang menempuh berbagai
ujian yang memerlukan pengorbanan yang cukup besar dalam hidupnya. Walaupun
beliau adalah puteri Rasulullah, namun hidupnya bukannya disaluti kemewahan dan
kesenangan, tetapi kemiskinan dan kesusahan. Apabila berkahwin dengan Saidina Ali,
kehidupannya tetap susah. Walaupun Rasulullah pemilik kepada seluruh kekayaan
di muka bumi tapi baginda tidak pernah mendidik anaknya dengan kemewahan.
Sewaktu menjadi isteri
Sayyidina Ali, Siti Fatimah menguruskan sendiri keperluan rumahtangganya.
Sayyidina Ali sering tiada kerana keluar berjuang bersama Rasulullah SAW.
Setiap hari, Siti Fatimah mengangkut air dari sebuah perigi yang jauhnya dua
batu dari rumahnya. Beliau mengisar tepung untuk keperluan makanan keluarganya.
Dalam serba susah dan miskin, beliau tetap ingin bersedekah walaupun hanya
dengan sebelah biji kurma. Siti Fatimah tidak pernah mengeluh atau menyalahkan
suaminya terhadap kesusahan yang terpaksa dihadapinya. Bahkan dikatakan bahawa
seluruh kesusahan wanita di dunia ini telah ditanggung oleh beliau sehingga
beliau tidak perlu dipologamikan. Wanita mulia ini sangat pemalu dan sangat
menjaga maruah dirinya.
Sewaktu Rasulullah SAW hampir
wafat, dia menemani ayahnda kesayangannya itu. Ketika itu Rasulullah SAW telah
berbisik ke telinga kanannya. Rasulullah memberitahu Siti Fatimah bahawa sudah
sampai masanya untuk baginda mengadap Tuhan. Siti Fatimah sungguh sedih kerana
akan berpisah dengan ayah yang sangat dikasihinya. Kemudian baginda berbisik ke
telinga kirinya pula. Siti Fatimah tersenyum gembira. Rupa-rupanya, Rasulullah
SAW menyatakan bahawa Siti Fatimah adalah orang yang pertama yang akan
menyusuli baginda.
Siti Fatimah meninggal di usia
28 tahun, lebih kurang lima bulan selepas wafatnya Rasulullah SAW.