Bagaimana nak
aktifkan ROH atau dengan kata-kata yang lain untuk aktifkan hati.
Apa perlunya kita
memperjuangkan roh atau kita aktifkan roh? Bagi mengaktifkan roh kita kena tahu
apa yang menjadi keperluannya atau makanannya.
Marilah kita
sama-sama mengkaji supaya kita sentiasa memikirkan dan berusaha menjaganya.
Supaya bila diuji dengan segala bentuk, hati yang telah bersedia atau roh yang
telah aktif ini, sentiasa dipandu untuk bertindak dan berperasaan. Supaya tidak
mengulangi kesalahan-kesalahan dan tindakan-tindakan mereka yang telah
kecundang; seperti TH dan GBA yang lalai dan cuai mengambil berat tentang
perkara hati atau soal roh ini.
Dalam Islam kita
diminta untuk menjaga akal dengan diberi makanannya iaitu ilmu, menjaga fizikal
dengan diberi makanannya iaitu nasi, roti dan lain-lain, dan makanan roh atau
hati ialah zikrullah sebagaimana disebutkan dalam al-quran :
الا بذكرالله تطمئن القلوب
"ketahui
olehmu dengan mengingati Allah hati menjadi tenang".
Hati atau roh
juga boleh dikiaskan sebagai sistem enjin kereta. Nak hidupkan hati macamlah
nak hidupkan sistem enjin kereta. Mula-mula perlu bateri kereta. Bila dah hidup
perlu minyak untuk aktif bergerak. Bateri perlu dijaga dan jangan
disalahgunakan. Bagaimana mahu menjaga supaya tidak disalah guna?
Umum kita tahu
sebuah kereta, secanggih mana pun kalau tidak ada bateri, tidak akan boleh
bergerak, kerana bateri itu salah satu komponen utama dalam sistem enjin
kereta. Tanpa bateri, sistem enjin tidak boleh dihidupkan walaupun minyaknya
penuh. Atau kalau bateri ada tapi lemah pun tetap tidak boleh 'start'.
Cara menjaganya
ialah; kalau bateri itu jenis sel basah, kita periksa airnya. Kalau kurang
kenalah ditambah. Tengok tarikh luputnya bila. Jangan biarkan lampu menyala
atau apa-apa alatan lain dihidupkan jika enjin tidak bergerak. Kalau lampu
menyala sentiasa, tidak ikut keperluannya samada siang atau malam, boleh
melemahkan bateri. Begitulah yang lain-lainnya.
Begitulah
ibaratnya hati. Demi menjaganya, perlu pelihara hal-hal yang berkaitan dengan
sistem hati itu. Contoh, mata kena jaga pandangan. Jangan tengok maksiat dan
perkara-perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah. Telinga, jangan mendengar
perkara yang sia-sia lebih-lebih lagi yang haram. Begitulah mulut dan lain lain
anggota badan kita. Anggota-anggota badan itu ada kaitan dengan sistem hati.
Ketahuilah! Orang
mukmin, sangat menjaga roh mereka. Bagaimana mahu mengaktifkan roh sekiranya
perkara-perkara yang berkaitan dengan roh tidak dijaga? Ibarat kereta,
bagaimana mahu enjin dihidupkan kalau bateri lemah atau tidak dijaga?
Kalau tidak
dijaga bateri jiwa ini, bagaimana kereta perjuangan mahu digunakan? Bagaimana
mahu melepasi lopak-lopak ujian, lubang-lubang dan perangkap dalam perjuangan?
Hebat dan canggih sekalipun persediaan, bateri tidak dijaga, akhirnya semuanya
sia-sia. Apalah nak dibangga-banggakan dengan harga kereta yang mahal, enjin
yang canggih, tapi bateri tiada atau lemah keadaannya.
Sepertilah TH dan
GBA bangga-banggakan dengan ANGKA TT yang besar, tapi banyak perkara terabai.
TH lebih membelek team elitnya, sedangkan anak-anak buah sebelum ini perlukan
kehadiran TH dalam memberikan kekuatan pada mereka. Rupanya TH lupa menjaga
hati-hati mereka, kerana hati TH pun sudah terlalu lemah dengan mursyid. Ibarat
bateri kereta yang tidak dijaga dan tak terhubung dengan komponen-komponen yang
lain, bagaimana mahu menggerakkan sebuah kereta walaupun kereta itu
secanggih-canggih kereta?
Demi menjaga
hati, Abuya telah pun memberikan panduan dan bimbingan, didikan dan pengajaran
buat kita. Apabila kita ikut panduan dan bimbingan dari mursyid dan lakukan
amalan tambahan iaitu pakej harian dengan zikir agung, dan setiap malam Jumaat
dan malam Isnin iaitu membaca Dibae dan juga membaca Berzanji, semuanya
menekankan persoalan rohaniah. Supaya roh kita subur atau diberi makan dengan
zikrullah.
Zikrullah yang
benar-benar dirasa, bukan setakat di mulut dan di akal. Nak dapat zikrullah
rasa itu perlu latihan, perjuangan, pengorbanan, ujian, dan lain lain langkah
praktikal yang dipandu oleh mursyid. Agenda utamanya adalah melawan nafsu
habis-habisan. Kerana roh dan nafsu tak akan duduk sekali.
Apabila hati atau
roh telah diberi makan atau telah disuburkan maka akan terbina sifat-sifat
mahmudah (terpuji) dan akan dapat membuang sifat-sifat mazmumah ( terkeji )
yang ada dalam diri manusia yang bertapak pada roh manusia.
Apabila roh telah
dijaga, peranannya sangat luar biasa. Ia menjadikan seseorang itu terhubung
dengan Tuhannya. Hatinya, perasaannya, fikirannya, tindakannya, sangat
terhubung dengan Tuhan.
"Bila telah
menjadi orang ROH atau dengan kata-kata yang Allah sebut dalam Quran iaitu
menjadi orang yang bertaqwa atau menjadi orang yang beriman, maka layaklah
mendapat bantuan Allah."
Dalam Islam Allah
hanya membantu atas dasar Taqwa, perkara ini Allah sebut dalam Al-Quran
sebagaimana firmannya:
والله ولي المتقين
"..dan Allah
pembela orang-orang bertaqwa"
Dalam ayat yang
lain ada disebutkan:
والله ولي الموئمنين
"..dan Allah
adalah pembela bagi orang yang beriman"
Tidak ada Allah
mengatakan untuk membantu atau menolong orang Islam. Para wali adalah
kekasih-kekasih Allah, termasuk dalam golongan yang sangat hampir dengan Allah
( Muqarrabin ). Firman Allah :
الا ان اولياء الله لاخوف عليهم ولاهم يحزنون
"Ketahuilah
sesungguhnya wali-wali Allah mereka tidak takut dan tidak berdukacita."
Allah perjelaskan
lagi dalam hadis Qudsi yang bermaksud:
اتقوا فراسة المؤمن، فإنه ينظر بنور الله
"Takutilah
firasat orang mukmin, kerana dia melihat dengan cahaya (pandangan) Allah".
Memuliakan mereka
bererti memuliakan Allah bilamana menghina mereka bererti juga menghina Allah.
Sebab itu Allah juga berfirman dalam hadis qudsi yang lain:
من أذاني وليا فأذنته بالحرب
"Barang
siapa memusuhi wali-KU, maka AKU akan mengistiharkan perang terhadapnya."
Rasulullah
ingatkan lagi senjata yang bersifat rohaniah ialah doa :
الدعاء صلاح المؤمنين
"Doa adalah
senjata orang mukmin"
Dalam tahlil,
kita membaca dan menyebut :
رجال الله ٢ ياهو أغيثونا لاجل الله يا هو
"wahai orang
Allah bantulah kami kerana Allah."
Jadi jelaslah
disini bahawa mengapa perlu roh atau hati dihidupkan atau diaktifkan. Kerana
pandangan Tuhan kepada hamba-hambanya ialah pada hatinya atau rohnya. Untuk
mendapatkan pertolongan Tuhan juga, perkara yang dilihat Tuhan ialah bagaimana
hati seseorang hamba atau rohnya. Kerana itulah syarat untuk mendapatkan
bantuan-Nya, hati yang rasa sebenar-benar hamba.
Sekadar berkongsi ilmu pengetahuan . .
semoga ia menjadi manfaat bagi kite sebagai seorang islam sejati, bukan islam berdasarkan keturunan @ nama semata2..
insyallah
posted by : rischa
sumber : Haramain